Monday 1 March 2010

ISTILAH TASAWUF - HAKIKAT

Istilah – istilah Tasauf

Hakikat - Kebenaran yang tulen dan sejati mengenai sesuatu perkara. Kebenaran yang paling benar adalah yang pada sisi Tuhan dan hanya Tuhan yang mengetahuinya dan ia dinamakan hakikat kepada sesuatu perkara itu. Manusia diberikan sedikit ilmu sahaja mengenai hakikat tersebut.
Hakikat Abdul Rab - Kewujudan hamba dalam ilmu Allah s.w.t. Dalam perjalanan kerohanian selepas peringkat fana seseorang itu memasuki peringkat baqa. Dalam kebaqaan itulah dia menyaksikan hakikat dirinya yang pada sisi Tuhan sebagai hamba Tuhan. Sebelum alam diciptakan wujud kehambaannya sudah pun ada pada sisi Tuhan. Hakikat dirinya itu tidak berpisah dengan Tuhan sejak azali sehinggalah kepada yang abadi. Penyaksian yang demikian membuatnya merasakan kekal atau baqa bersama-sama Allah s.w.t.

Hakikat Adam/Adamiyah
- Hakikat kepada Nabi Adam a.s. Ia adalah kewujudan pada sisi Tuhan, dalam ilmu Tuhan, yang berdasarkan kepadanya Adam a.s dan keturunannya diciptakan. Apa sahaja yang diciptakan oleh Tuhan menunjukkan bahawa perkara tersebut sudahpun ada pada sisi-Nya sebelum ia diciptakan. Salik bertembung dengan Hakikat Adamiyah ketika terjadi keasyikan pada peringkat kalbu. Kesan pertembungan dengan Hakikat Adamiyah menyebabkan muncul cahaya nur berwarna kuning yang bergemerlapan pada cermin hati salik. Nur yang menyinari hati salik itu mendorong salik untuk kuat bertaubat kepada Allah s.w.t dan memperbanyakkan ibadatnya.

Hakikat Ahmad/Ahmadiah
- Urusan pentadbiran Tuhan mengenai roh yang paling latif yang menjadi penjana kepada sekalian kehidupan. Ia adalah roh Nabi Muhammad s.a.w atau biasanya dipanggil Roh Muhammad. Dalam suasana roh ia dinamakan Ahmad.

Hakikat Alam
- Kewujudan alam dalam ilmu Tuhan.

Hakikat Asma’
- Kewujudan pada sisi Tuhan, dalam ilmu Tuhan, dinamakan Hakikat. Ia adalah hal atau keadaan Tuhan ataupun suasana pentadbiran dan urusan Tuhan, samada mengenainya diri-Nya ataupun makhluk-Nya. Salah satu hal-hal mengenai Tuhan adalah nama-nama-Nya. Nama Tuhan adalah wujud Hakikat, iaitu wujud pemerintah yang menguasai sekalian makhluk. Boleh juga dikatakan bahawa nama-nama Tuhan adalah bakat-bakat ketuhanan atau Rububiah. Dalam pengalaman kerohanian seseorang sampai kepada peringkat menyaksikan hubungan nama-nama Tuhan dengan Diri-Nya yang menguasai nama-nama tersebut dan kekuatan serta bakat ketuhanan yang ada pada nama-nama Tuhan terhadap sekalian makhluk. Pengalaman yang demikian dikatakan dia mengalami Hakikat Asma’.

Hakikat Habiballah - Nabi Muhammad s.a.w boleh dilihat dari beberapa aspek. Baginda s.a.w adalah rasul-Nya yang membawa perkhabaran mengenai-Nya secara sempurna. Dalam aspek kerasulan yang paling lengkap dan sempurna ini baginda s.a.w dilihat sebagai bekas yang mempamerkan apa yang ada pada sisi Tuhan yang dinamakan Hakikat Muhammad. Baginda s.a.w adalah makhluk yang paling mengenali Allah s.w.t. Baginda adalah yang paling mengetahui cara-cara pengabdian kepada-Nya. Baginda juga merupakan orang yang paling mengasihi Allah s.w.t dan baginda jugalah makhluk yang paling dikasihi oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t menjadikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai rahmat kepada sekalian alam. Apabila melihat Nabi Muhammad s.a.w dalam aspek rahmaniat Tuhan baginda s.a.w dipanggil Habiballah atau kekasih Allah. Habiballah adalah hamba Tuhan yang paling benar dan paling diredai-Nya. Baginda s.a.w telah menunjukkan jalan yang paling benar dan paling diredai itu. Dalam pengalaman kerohanian seseorang menyaksikan Nabi Muhammad s.a.w dalam berbagai-bagai aspek seperti Hakikat Muhammad, Nur Muhammad, Muhammad Insan Kamil dan lain-lain. Semua aspek-aspek tersebut adalah kewujudan dalam ilmu Allah s.w.t. Penghayatan, daya rasa, ingatan dan kesedaran di dalam ilmu itu bercampur dengan kemabukan, kefanaan dan kebaqaan atau dikatakan berada dalam suasana hakikat. Apabila seseorang dapat melihat Nabi Muhammad s.a.w sebagai Habiballah yang berjalan sebagai manusia biasa di atas muka bumi, memakai sifat-sifat dan nilai kemanusiaan, baharulah dia dapat kembali kepada kesedaran biasa dengan sempurna atau baharulah dia boleh keluar dari makam hakikat dan masuk sepenuhnya kepada makam syariat. Penghijrahan dari makam hakikat kepada makam syariat sukar dilakukan kerana kesan kefanaan, kemabukan, zauk dan kebaqaan sukar hilang dari hati salik.

Hakikat Haiwan - Kewujudan dalam ilmu Tuhan yang mengawal penciptaan keturunan semua haiwan.

Hakikat hamba Tuhan
- Sama seperti Hakikat Abdul Rab.

Hakikat Ibrahim/Ibrahimiyah - Hakikat kepada Nabi Ibrahim a.s iaitu kewujudan hakikat yang pada sisi Tuhan yang mengawal penciptaan Nabi Ibrahim a.s. Hakikat nabi-nabi mempunyai pengaruh dan kesan terhadap hakikat-hakikat yang lain. Hakikat Nabi Muhammad s.a.w mempunyai kesan dan pengaruh yang paling besar dan paling kuat terhadap semua hakikat-hakikat. Di bawah daripada itu adalah hakikat nabi-nabi yang lain termasuklah Hakikat Nabi Ibrahim a.as. Hakikat adalah suasana ketuhanan mengenai makhluk-Nya. Apa sahaja urusan Tuhan dinyatakan sebagai nur. Malaikat yang menjalankan urusan Tuhan adalah nur. Kesan hakikat yang diterima oleh cermin hati adalah dalam suasana nur juga. Hakikat Ibrahimiyah diterima oleh hati ketika berlaku keasyikan pada makam roh, iaitu roh haiwani yang menghidupkan jasad.. Pertembungan dengan kesan Hakikat Ibrahimiyah tersebut membuat mata hati menyaksikan nur atau cahaya berwarna merah yang bergemerlapan. Ini bukan bermakna Hakikat Ibrahimiyah itu berwarna merah. Kesan daripada hakikat umpama haba yang ‘memanaskan’ cermin hati dan hasilnya muncullah cahaya api dalam cermin hati itu. Begitu juga keadaannya apabila berlaku pertembungan hati dengan kesan hakikat-hakikat yang lain. Pancaran nur Hakikat Ibrahimiyah itu mendorong hati supaya kuat berserah diri kepada Allah s.w.t dan kuat bersabar dalam menempuh ujian.

Hakikat Insan - Suasana, keadaan atau hal Pentadbiran Tuhan yang mengenai umat manusia dan menguasai kewujudannya. Apa sahaja yang Tuhan tentukan untuk umat manusia sejak azali sampailah kepada yang abadi telah ada pada suasana Hakikat Insan yang pada sisi Tuhan. Apa sahaja yang terzahir daripada penguasaan Hakikat Insan akan menjadi manusia.

Hakikat Insan Kamil - Hakikat Insan Kamil adalah suasana kerohanian pada permulaan baqa, setelah melepasi peringkat fana. Dalam suasana tersebut sering muncul kesedaran tentang kesatuan wujud (wahdatul wujud) di mana Wujud Tuhan dengan wujud hamba disaksikan sebagai satu. Hakikat Insan Kamil merupakan pertemuan makam kehambaan dengan makam ketuhanan. Dalam suasana inilah ucapan “ana al-Haq!” selalu keluar dari mulut orang yang sedang karam di dalam kesedaran Insan Kamil itu. Ada juga orang yang memasuki suasana ini tanpa hilang kesedaran kehambaannya. Dia hanya menyaksikan Insan Kamil bukan menjadi Insan Kamil. Dalam hal ini Insan Kamil menjadi titik permulaan untuk dia menyaksikan hakikat kehambaan dirinya di dalam ilmu Allah s.w.t atau pada sisi-Nya.

Hakikat Isa/Isaiyah
- Pertembungan hati dengan Hakikat Isaiyah berlaku ketika terjadi keasyikan pada peringkat kebatinan yang dinamakan khafi. Kesan pertembungan itu menyebabkan cermin hati tertangkap cahaya nur yang berwarna hitam yang bergemerlapan. Ketika ini gelombang kefanaan sedang kuat melambung hati salik. Kesedaran pancainderanya sudah tidak ada lagi. Dalam suasana yang demikian akan lahirlah sifat-sifat dan perwatakan yang dianggap sebagai tidak normal mengikut penilaian orang ramai. Nur yang terpancar melalui pertembungan dengan Hakikat Isaiyah itu membuat hati bertambah kasih kepada Tuhan dan ingatan hanya tertuju kepada-Nya semata-mata. Hubungan salik dengan yang selain Allah s.w.t tidak aktif. Pada tahap ini ingatan dan kesedaran salik hanyalah tertumpu kepada Allah s.w.t hinggakan dia tidak tahu dirinya dan makhluk lainnya.

Hakikat Kacang
- Suasana, keadaan atau hal pentadbiran Tuhan yang menguasai kewujudan generasi kacang. Apa sahaja yang terzahir melalui penguasaan Hakikat Kacang akan menjadi kacang.

Hakikat kemanusiaan - Sama seperti Hakikat Insan, iaitu suasana pentadbiran Tuhan mengenai generasi manusia.

Hakikat kenabian - Suasana pentadbiran Tuhan yang berhubung dengan penciptaan nabi-nabi. Hakikat ini adalah Hakikat Muhammadiah yang menjadi penjana ilmu nabi-nabi. Setiap nabi memperolehi bahagian tertentu daripada pancaran nur Hakikat Muhammadiah, sementara Nabi Muhammad s.a.w memperolehi pancaran tersebut secara penuh.

Hakikat kepada semua hakikat-hakikat
- Hakikat Muhammadiah.

Hakikat kewalian
- Suasana pentadbiran Tuhan yang berhubung dengan penciptaan wali-wali. Wali-wali menerima kesan pancaran nur Hakikat Insan Kamil dan Hakikat Abdul Rab. Darjat seseorang wali itu bergantung kepada kekuatan nur Insan Kamil dan Abdul Rab yang diterimanya.

Hakikat Khalifah
- Setelah menemui hakikat dirinya sebagai Hakikat Abdul Rab salik memperolehi sepenuhnya kesedaran kemanusiaannya yang hilang ketika fana dan mula kembali sedikit demi sedikit ketika baqa. Pancaran nur Hakikat Khalifah memberi kekuatan dan bimbingan kepada salik untuk menguruskan hal-ehwal kehidupannya dan juga bidang yang diamanahkan kepadanya. Salik yang telah sampai ke peringkat ini sudah melepasi kesan kemabukan dan kefanaan dan dia boleh kembali kepada kehidupan orang ramai tanpa menimbulkan fitnah dan kekeliruan.

2 comments: